Shopping Cart

No products in the cart.

Masalah penglihatan warna (rabun warna)

buta warna, buta warna, Optometrist, Shah AlamRabun warna adalah ketidakupayaan untuk membezakan warna tertentu. Rabun warna yang kerap ditemui adalah jenis rabun merah dan hijau. Warna-warna seperti merah, jingga, kuning, coklat dan hijau mungkin kelihatan sama tetapi dengan kecerahan dan saturasi yang berbeza. Rabun warna biasanya disebabkan oleh faktor genetik ataupun kongenital (sejak lahir). Rabun warna merah/hijau dan biru biasanya diwarisi daripada ibu bapa. Sesetengah orang juga memperoleh rabun warna akibat penyakit yang dihadapi seperti kencing manis, multiple sclerosis, beberapa penyakit hati dan penyakit mata.

Tahap rabun warna bergantung kepada kecacatan. Ianya boleh jadi ringan, sederhana ataupun teruk. Jika anda mewarisi rabun warna, tahap rabun warna anda akan kekal sepanjang hidup. Ia tidak akan menjadi lebih baik atau teruk.

Buat masa kini, tiada penawar ataupun ubat untuk menyembuhkan rabun warna kerana adalah tidak mungkin untuk membaiki sel-sel kon di dalam retina. Rabun warna tidak menyebabkan sebarang masalah kesihatan jangka lama. Oleh itu anda tidak memerlukan sebarang rawatan untuk menjalani hidup secara normal dan sihat.

Sekiranya masalah rabun warna disebabkan oleh penyakit ataupun kesan sampingan sesetengah ubat, ianya mungkin dapat diperbaiki dengan merawat penyakit tersebut, ataupun dengan pengambilan ubat alternatif.

Kebanyakan individu rabun warna belajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tersebut. Walau bagaimanapun, rabun warna boleh mempengaruhi pilihan kerjaya sesetengah individu. Ini adalah kerana pekerjaan tertentu, seperti juruterbang, pemandu kereta api, juruelektrik dan pengawal trafik udara, memerlukan pengecaman warna yang tepat.

Jika anak anda mempunyai rabun warna, mereka mungkin menghadapi kesukaran di sekolah. Kebanyakan bahan pembelajaran berwarna dan anak anda mungkin mempunyai kesukaran jika persekitaran pembelajaran tidak sesuai dengan keperluan khusus mereka.

Buat masa ini tiada rawatan untuk individu yang rabun warna akibat faktor genetik. Terdapat cermin mata dan kanta lekap khas untuk membantu meningkatkan kontras dan tona warna tertentu. Hubungi kami untuk temu janji untuk menguji penglihatan warna atau jika anda memerlukan sepasang kanta penapis warna.